Friday, February 26, 2010

Undang-Undang: Jangan pandang remeh poligami




Lelaki ingin kahwin lebih perlu faham konsep keadilan

GOLONGAN Adam selalu mempunyai tanggapan yang silap mengenai bentuk perkahwinan dalam Islam. Mereka mempunyai anggapan bahawa perkahwinan dalam Islam adalah berbentuk poligami sedangkan apabila kita benar-benar mendalami maksud ayat suci al-Quran seperti firman Allah SWT bermaksud:

“Jika kamu takut (khuatir), kalau kamu tidak akan berlaku adil terhadap perempuan yang kamu kahwini (sekiranya kamu berkahwin dua, tiga atau empat orang), maka kahwinlah seorang saja. Yang demikian itu lebih baik dan kamu tidak menganiayai sesiapa” (Surah al-Nisa’, ayat 3)

Ayat ini dengan terang menjelaskan bahawa seseorang lelaki atau suami hanya dibenarkan berpoligami sekiranya beliau mampu berlaku adil dan tidak menganiayai sesiapa. Ini adalah satu prasyarat untuk berpoligami: iaitu berkemampuan untuk berlaku adil.

Apakah yang dimaksudkan mampu berlaku adil?

Keadilan yang dituntut oleh syarak untuk suami melakukannya adalah keadilan dari segi:

* Membahagi masa;
* Kemampuan suami memberi nafkah yang secukupnya kepada isteri dan anak-anak; dan
* Kemampuan suami memberi layanan yang sama rata di kalangan isteri-isterinya (jika suami mengamalkan berpoligami).

Bagaimanapun kalau kita renungkan ayat al-Quran seperti firman Allah SWT bermaksud:

Quote:
“Kamu tidak akan sanggup berlaku adil antara perempuan-perempuan itu, meskipun kamu mencuba sedaya upaya, dengan itu janganlah sekali-kali kamu tinggalkan isteri kamu dalam keadaan tergantung”

(Surah al-Nisa’, ayat 129)
Daripada ayat diatas adalah jelas menunjukkan adalah begitu sukar bagi suami untuk berlaku adil kecuali lelaki yang benar-benar memahami tanggungjawab besar dalam berpoligami.

Dalam soal menentukan sama ada suami mampu berlaku adil atau tidak, perkara itu tidak boleh ditentukan oleh suami itu sendiri, tetapi diputuskan oleh pihak ketiga iaitu mahkamah.

Menurut seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, sekiranya seseorang lelaki itu hendak berpoligami beliau mestilah terlebih dulu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Sekiranya suami berpoligami tanpa mendapat kebenaran daripada mahkamah Syariah, suami itu sudah melakukan kesalahan di bawah Akta ini dan boleh dikenakan hukuman. Antara lain adalah denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Di antara perkara yang mesti dinyatakan di dalam permohonan berpoligami ialah sama ada keizinan daripada isteri sudah diperoleh. Apabila mahkamah menerima permohonan daripada pihak suami untuk berpoligami mahkamah akan memanggil isteri dan suami itu untuk menentukan sama ada kebenaran berpoligami diberikan atau tidak.

Mengikut undang-undang mahkamah sepatutnya hanya akan memberi kebenaran sekiranya berpuashati bahawa perkahwinan yang bakal dijalankan adalah:

1. Perlu/adil dan munasabah atas alasan isteri yang sedia ada mempunyai beberapa kecacatan atau kekurangan (seperti tidak dapat melahirkan zuriat, tidak siuman atau tidak dapat menjalinkan hubungan kelamin).

2. Mahkamah juga akan melihat sama ada suami berkemampuan dari segi kewangan untuk menanggung lebih daripada sebuah keluarga.

3. Mahkamah akan melihat sama ada suami itu mampu memberi layanan yang adil terhadap isteri dan anak.

4. Mahkamah juga akan membuat pertimbangan sama ada perkahwinan yang bakal dijalankan boleh mendatangkan mudarat (darar syarie) kepada isteri yang sedia ada.


Sekiranya suami dapat memenuhi keempat-empat syarat itu maka mahkamah tidak ragu-ragu untuk memberi kebenaran berpoligami.

Dalam kes Aisyah Abdul Raof lawan Wan Mohd Yusof (1990) 7JH152, apabila Mahkamah Rendah Syariah membuat keputusan memberi kebenaran kepada suami untuk berpoligami atas alasan suami itu berkemampuan dari segi memberi nafkah, keputusan itu kemudian ditolak oleh Badan Rayuan apabila isteri membuat rayuan ke atas keputusan itu.

Badan Rayuan memutuskan bahawa keempat-empat syarat yang dinyatakan tadi mesti dipenuhi oleh suami sebelum mahkamah memberikan kebenaran berpoligami.

Sementara dalam kes Rajamah lawan Abdul Wahab (1990) JH 171, permohonan suami sudah ditolak oleh mahkamah kerana suami tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Apabila isteri tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah yang memberikan keizinan kepada suami untuk berpoligami isteri boleh membuat rayuan kepada Badan Rayuan.

Bagi isteri yang tidak berpuashati jika suami sudah berpoligami tanpa mendapat kebenaran daripada mahkamah, mereka boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa dan suami boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang. Ini boleh dirujuk dalam kes Pendakwaraya Syarie lawan Hakim Sukirman (2008) 1 ShLR.

Mengikut seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan, isteri boleh membuat permohonan untuk pembahagian harta sepencarian dan juga permohonan untuk mendapat peruntukkan kewangan bagi pihaknya seperti nafkah.

Kesimpulannya, bagi suami yang berhasrat untuk berpoligami mereka haruslah berfikir semasak-masaknya mengenai tanggungjawab yang harus dipikul untuk menjadi nakhoda yang ingin mengemudi lebih daripada sebuah kapal. Tepuk dada tanya selera. Kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga. Beringat sebelum kena kerana sesal kemudian tiada berguna.

No comments:

Post a Comment

Followers