KUALA LUMPUR, 30 MAC 2010: Pelawak dan penyampai radio ERA FM, Din Beramboi disahkan berada di wad hospital kerana dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun, sakit yang dihidapi penyampai radio ERA FM ini masih belum dikenal pasti memandangkan beliau masih dalam kawalan doktor.
Mengesahkan keadaan sebenar Din Beramboi, Pengurus ERA FM, Nazri Noran berkata setakat ini pihak mereka masih belum mengetahui punca sakit itu secara teknikal.
"Semalam saya pergi melawatnya. Memang benar, Din dalam keadaan lemah dan tidak sihat. Sehingga kini, Din masih dalam kawalan ketat doktor.
"Bagi menjawab apa sakitnya, terus-terang, saya sendiri masih belum pasti apa sakitnya. Doktor sedang memeriksa sakitnya dengan lebih terinci. Doktor sendiri tidak tahu apa sakit yang dialaminya. Insya-Allah, kami akan update keadaan Din beramboi dari masa ke masa," ujar Nazri.
Meneruskan bicara, Nazri menjelaskan bahawa ini adalah kali pertama Din Beramboi dalam keadaan kecemasan yang mana sebelum ini pengacara program Mandi di Astro Warna tidak pernah sekali pun mengambil cuti sakit dan sanggup hadir ke konti walaupun dalam keadaan sakit.
"Ketika bersiaran bersama Aznil pagi Rabu lalu (24 Mac 2010), Din ada mengadu kepada saya bahawa badannya terasa sakit. Kemudian, keesokannya harinya (Khamis), Din memberitahu saya dengan menghantar SMS mengatakan dia tidak boleh tidur dan demam.
"Din turut mengadu badannya tidak larat memandangkan isterinya juga demam. Akibat keadaannya yang makin serius, pagi semalam (31 Mac 2010) Din terus pergi ke hospital dan terus ditahan dalam wad.
"Sekarang, kami cuma berharap dan doakan agar Din cepat sembuh. Insya-Allah, kami akan cuba membantu keluarganya setakat yang kami mampu. Diharap semua peminat Din turut sama mendoakan yang terbaik buat dirinya," jelasnya.
Sementara itu, murai.com.my difahamkan doktor terpaksa menidurkan Din akibat keadaan beliau yang sudah 3 malam tidak dapat melelapkan mata. Oleh itu, pihak keluarga Din tidak membenarkan sesiapun melawatnya memandangkan dia sedang dikawal rapi oleh doktor dan perlukan rehat yang secukupnya.
kredit to http://www.murai.com.my